Pages

Thursday, February 20, 2014

Harga di kaunter lebih mahal

 
Harga di kaunter lebih mahal
 
SUNGAI PETANI - "Bukan sebab RM3, tetapi ia taktik yang digunakan sesetengah peniaga bagi menarik perhatian pembeli. Apabila hendak dibayar, harga yang tertera di kaunter lebih mahal dari yang dipamerkan."

Demikian luah seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Zawirah, 30-an, yang berhadapan situasi berkenaan di sebuah pusat alatan sukan di bandar ini.

Menurut Zawirah, dia bukanlah mahu mempertikaikan RM3 yang perlu ditambah, tetapi tindakan berkenaan seolah-olah menganiaya pengguna.

“Saya bukanlah mahu berkira dengan RM3, tetapi cara peniaga menggunakan taktik berkenaan boleh dikatakan penipuan dalam perniagaan dan sering digunakan tanpa disedari,” katanya.

Zawirah berkata, pada mulanya dia melihat harga yang tertera di kasut sukan tertulis RM26.

Menurutnya, kasut yang ditempatkan di rak sama tertera harga tawaran RM26 untuk semua jenis kasut berbanding di rak berlainan, harga yang dipamerkan lebih mahal.

“Apabila saya membuat keputusan untuk membeli kasut berkenaan, petugas mendapatkan sepasang kasut baru dari stor dan terus dibawa ke kaunter,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Zawirah, dia dan keluarga terkejut apabila harga yang tertera di kotak kasut ialah RM29.

“Pada mulanya, petugas memberi alasan ia harga sebenar yang telah ditetapkan kerana ada kelainan berbanding kasut yang dipamerkan.

“Akibat tidak puas hati, saya melihat kembali harga kasut di rak, tetapi disangkal petugas dengan menjelaskan material yang digunakan berbeza menyebabkan harga bagi kedua-duanya juga berbeza,” katanya.

Menurut Zawirah, tindakan itu adalah sesuatu penganiayaan ke atas pengguna apabila harga jualan tidak sama dengan harga pameran.

“Peniaga tidak sepatutnya mengenakan taktik berkenaan kerana kononnya mempamerkan harga promosi, sedangkan apabila hendak membeli, harga ditambah pula,” katanya.

Katanya, beberapa rakan turut berhadapan perkara sama apabila pembelian beberapa barangan lain di lokasi berlainan.

Menurutnya, pendedahan dibuat sebagai langkah pencegahan kepada orang ramai yang tidak menyedari taktik penipuan perniagaan yang diamalkan sedemikian rupa.

Dia berharap agar pihak bertanggungjawab boleh melakukan pemantauan harga, selain siasatan terhadap beberapa lokasi yang kerap dilaporkan berlaku kejadian sama.

Menurutnya, beberapa rakan turut memberitahu pernah mengalami pengalaman serupa ketika membeli barang di lokasi berlainan.

“Hari ini, ia berlaku terhadap keluarga saya dan tidak mustahil perkara sama berlaku setiap hari tanpa disedari pengguna dan peniaga juga dilihat mengaut keuntungan mudah apabila mengamalkan taktik berkenaan,” katanya.
 
sumber

No comments: